Realiti yang kini sepatutnya ‘mencengkam’ minda Pearly Tan dan M Thinaah ialah bahawa mereka tidak ada pilihan lain kecuali menampilkan wajah baru semasa menggalas tanggungjawab lebih besar memburu kegemilang pada baki saingan tahun ini.
Ini susulan pengumuman Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Khamis bahawa pasangan beregu wanita nombor tiga dunia itu sudah bersetuju menyambung kontrak mereka itu sehingga temasya Sukan Olimpik 2028.
Apakah anggaran gaji RM83,333 sebulan untuk setiap seorang itu nampak wajar?
Difahamkan mereka kini merupakan segelintir pemain bintang negara dengan gaji paling tinggi dalam kem BAM. Angka tersebut berpandukan kepada pendapatan tahunan Pearly-Thinaah yang difahamkan mencecah RM1 juta setiap seorang.
Jumlah itu disebut akan bertambah, bergantung dengan keputusan dan pencapaian dalam Jelajah Dunia BWF atau kejohanan elit lain yang bakal dihadapi mereka nanti.
Keputusan pasangan terbabit terus kekal dengan BAM diumumkan oleh presidennya, Tengku Zafrul Abdul Aziz di Bukit Kiara.
Tetapi dia tidak mendedahkan perincian kontrak berkenaan melainkan menyebut kedua-dua pemain menerima pakej bayaran lumayan berdasarkan status mereka.
Mesejnya jelas di sini: beri tumpuan penuh, jaga ranking dunia dan usah menghampakan.
Apa pun, butiran kontrak itu tidak penting. Yang penting ialah Pearly-Thinaah belajar menangani tekanan di pentas saingan besar serta menyambung rentak konsisten yang sudahpun ditunjukkan pada dua atau tiga bulan lalu, termasuk menjuarai Terbuka Thailand pada Mei.
Sebenarnya senario buat Pearly dan Thinaan tidak begitu berbeza jika mereka membuat keputusan meninggalkan BAM dan bergerak sebagai pemain profesional.
Hal itu kerana di sana, mereka juga menerima gaji lumayan dan diikat dengan terma dan syarat.
Justeru kedua-dua pemain terbabit berada dalam situasi tertekan dengan status baru. Tapi, kemampuan mereka yang terbukti kebelakangan ini menambah keyakinan kepada peminat betapa babak baru bakal menjelma.
Terpulang kepada Pearly-Thinaah untuk membuktikan mereka adalah pasangan beregu wanita terbaik pernah dilahirkan. Gaji baru seharus menyuntik semangat baru.
Dapat difahami bahawa BAM mahu mereka menyerlah di Olimpik dan atas harapan itulah maka mereka sanggup berbelanja besar untuk memastikan misi tercapai - iaitu penyudah podium dengan pingat emas pertama negara.
Namun, janganlah pula terima gaji baru dan kembali leka. Harus ada kesinambungan dan aksi konsisten disajikan. Ini untuk memastikan ranking mereka sentiasa baik atau kekal berada dalam kelompok tiga teratas sehingga ke Sukan Olimpik.
Cuma isu bimbang berdepan pasangan elit dunia – khasnya dari China, Korea Selatan dan Jepun – harus dikikis segera.
Percayalah, pasangan lawan mereka yang nampak lebih bimbang dengan peningkatan pasangan negara kita kebelakangan ini.
Jurang perbezaan di antara mereka sudah nampak semakin rapat. Dari segi taktik dan teknik di atas gelanggang, keupayaan Pearly-Thinaah dengan lawan elit lain hampir sama saja.
Sebenarnya, pemerhati dan pengkritik beranggapan nasib baik juga pasangan wanita kita ini tidak bergerak sebagai pemain profesional. Di bawah naungan BAM, mereka hanya perlu fokus sepenuhnya kepada latihan dan pastikan bebas daripada gangguan lain.
Semua kemudahan latihan terbaik termasuk penggunaan kaedah sains sukan jelas berada bersama BAM. Persiapan seperti kos perbelanjaan menyertai kejohanan, urusan tempahan tiket kapal terbang dan penginapan, semuanya diuruskan oleh badan induk itu.
Ia amat berlawanan sekali dengan tugasan serta tanggungjawab selaku pemain dari kem bertentangan. Tanyalah pemain profesional lain yang sudah meninggalkan BAM mengenai pandangan masing-masing.
Cuma wang diterima untuk gaji dan perbelanjaan tahunan oleh kumpulan di luar BAM difahamkan lebih lumayan. Namun, semua tentu bersepakat untuk mengakui bahawa wang bukanlah segala-galanya.
Sementara itu, kita juga tertanya-tanya apakah jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia, membuat keputusan tepat apabila memilih keluar dari BAM pada Jan 2022.
Selain kejayaan meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik 2024 di Paris, jalan cerita yang lain untuk Zii Jia boleh dikatakan agak menghampakan, termasuk bergelut dengan isu kecederaan.
Baru-baru ini pula, Zii Jia mencetus tanda tanya mengenai keadaan kesihatan mentalnya apabila memuat naik hantaran berupa lukisan yang ada kaitan dengan unsur kemurungan di akaun Instagram.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sudah menyatakan kesediaan membantu bekas juara Seluruh England itu jika dia memerlukan apa-apa, termasuk sokongan mental dan rundingan pakar psikologi.
Kita juga tahu dia sudah menarik diri daripada kejohanan Terbuka Jepun pada bulan ini. Harapan kita ialah agar dia akan kembali cergas dan beraksi dengan lebih garang di gelanggang.
Namun, situasi nampak berlawanan dengan pasangan beregu lelaki nombor satu dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Humsani yang makin menyinar selepas meninggalkan BAM pada Ogos tahun lalu.
Seperti harapan peminat tanah air, penulis juga ingin melihat Zii Jia dan pasangan tersohor ini kembali ke BAM satu hari nanti jika benar-benar terasa sudah hilang arah dan amat perlukan bantuan.
Tidak ada salahnya berpatah balik jika ada kemahuan untuk terus berjaya dengan minda lebih tenang.
Zii Jia dan pasangan beregu utama kita ini adalah bintang negara.
Bersama-sama Pearly-Thinaah dan jaguh beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mereka masih dianggap prospek untuk naik ke podium di Sukan Olimpik dalam tempoh tiga tahun lagi.
Cuma persoalannya ialah, siapa dulu? Pearly-Thinaah atau barisan lelaki elit kita?
ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
No. 9, Jalan 51/205A, Off Jalan Tandang, 46050 Petaling Jaya, Selangor